TOC tawar biasiswa bernilai RM140,000 sempena sambutan ulang tahun ke-10
The Otomotif College (TOC), perintis dalam pendidikan automotif profesional di Malaysia, telah menawarkan biasiswa dan anugerah bernilai lebih RM140,000 sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-10 pada tahun ini.
Yayasan Biasiswa TOC telah ditubuhkan tahun ini sebagai memperingati kejayaan selama sedekad melahirkan profesional automotif generasi baru yang serba boleh dan sedia untuk menceburi dunia kerjaya.
Bagi tahun akademik 2014, TOC akan menyampaikan tiga biasiswa utama iaitu Biasiswa Yayasan, Biasiswa Prestasi dan Biasiswa Kecemerlangan.
Biasiswa Yayasan bertujuan membantu pelajar yang berminat mengikuti pengajian automotif tetapi tidak mampu mendaftar untuk mengikuti program diploma. Permohonan terbuka kepada pelajar dengan pendapatan keluarga mereka kurang daripada RM3,000 sebulan.
Biasiswa Prestasi pula memberi ganjaran kepada pelajar TOC sedia ada yang mencapai kejayaan dalam pertandingan automotif atau lumba motor supaya pelajar lain juga terdorong untuk mencapai mercu jaya lebih tinggi.
Manakala Biasiswa Kecemerlangan dianugerahkan kepada mereka yang berjaya mencatatkan sekurang-kurangnya tujuh A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan ingin melanjutkan pengajian mereka di TOC.
Yayasan Biasiswa TOC juga menawarkan anugerah tunai setiap penggal menerusi Anugerah Kehormat dan Anugerah Pelajar Cemerlang Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Latihan sebagai ganjaran kepada pelajar yang mencatatkan prestasi akademik dan luar darjah yang memberangsangkan di samping berdisiplin menghadiri kelas.
Menurut ketua pegawai eksekutif TOC, Adelaine Foo, Yayasan Biasiswa TOC telah ditubuhkan berasaskan kepercayaan bahawa semua orang harus diberikan peluang pendidikan yang saksama.
“Dalam keadaan di mana ramai rakyat Malaysia sedang dihimpit kos sara hidup yang tinggi, kami harap biasiswa dan anugerah ini akan dapat membantu mereka yang berminat dalam kereta untuk mengejar cita-cita masing-masing. Program diploma kami yang terbukti dan disanjung tinggi ini membuka pintu ke dunia automotif yang pesat dan menawarkan pelbagai peluang kerjaya,” katanya.
TOC yang ditubuhkan pada 2004, menyediakan kurikulum yang relevan dengan industri dan mengikuti perkembangan semasa, disokong oleh latihan praktikal menyeluruh dan program latihan sambil bekerja, dan dirangka untuk melahirkan graduan serba boleh yang dilengkapi bukan sahaja diploma diiktiraf antarabangsa, tetapi juga pengalaman dunia sebenar.
Sepanjang satu dekad yang lepas, TOC telah berkembang maju menjadi sebuah kolej automotif yang dikelolakan dengan paling baik di Malaysia. TOC diberikan taraf lima bintang oleh MyQuest 2012/13 dan Kementerian Sumber Manusia. Ia juga diiktiraf sebagai penyedia latihan Sijil Kemahiran Malaysia lima bintang oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
TOC telah menerima akreditasi status perdana oleh Perkhidmatan Akreditasi bagi Kolej Antarabangsa (ASIC), iaitu pengiktirafan yang diberikan hanya kepada lima peratus daripada institusi pendidikan automotif dunia. Kolej ini juga diberi akreditasi Kementerian Pengajian Tinggi (MoHE), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Sumber Manusia (MoHR), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Majlis Pengiktirafan Latihan dan Pekerjaan, Kerajaan Queensland, Australia, dan Institut Industri Motor (IMI) dan City and Guilds International, United Kingdom.
Article source: Infokereta by Izwaashura Sadali