TOC Automotive College

View Original

SIC, TOC cungkil bakat baharu sukan permotoran

Photo: RAZLAN (kanan) dan Adelaine (kiri) bergambar ketika mengumumkan perkongsian bersama SIC-TOC di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Image from: Kosmo Online

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) dan TOC Automotive College mengumumkan perkongsian secara rasmi untuk membangunkan SIC sebagai Hab Sukan Permotoran di Asia.

Langkah itu bertujuan untuk mencari generasi baharu para atlet dan jurutera sukan permotoran tempatan bagi meningkatkan pengetahuan mengenai industri sukan permotoran di Malaysia serta di seluruh Asia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, usaha sama jangka panjang itu menyaksikan pihaknya bersama-sama TOC akan menggunakan pendekatan pelbagai peringkat bagi mempromosikan sukan permotoran tempatan melalui kursus pendidikan, latihan praktikal dan pendedahan di dalam serta luar negara.

Katanya, ia termasuklah menganjurkan pelbagai program, aktiviti dan projek bersama untuk membangunkan bakat-bakat tempatan yang akan menyokong disiplin sukan permotoran seperti jurutera perlumbaan serta atlet.

“Program bahagian pembangunan sukan permotoran SIC ini bertujuan untuk membangunkan bakat-bakat muda bagi perlumbaan kejuaraan dunia, sama ada sebagai pelumba atau jurutera.

“Peranan kami ialah untuk memupuk minat golongan muda yang ingin mengharumkan nama negara dalam kerjaya sukan permotoran masing-masing.

“Ia akan menyumbang kepada kemantapan industri ini terutamanya dalam aspek sukan permotoran di Malaysia. Visi kami ialah untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai pasukan Malaysia pada Kejuaraan Dunia,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pengumuman perkongsian bersama SIC-TOC di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas TOC, Adelaine Foo berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk memulakan usaha sama dengan SIC.

Katanya, rakyat Malaysia mempunyai minat yang mendalam dalam sukan permotoran dan teknologi automotif.

“Dengan membentuk bakat-bakat tempatan dalam bidang-bidang ini, kami percaya bahawa bilangan pakar automotif tempatan akan meningkat dan mampu menyumbang secara positif, sekali gus menjadikan SIC sebuah Hab Sukan Permotoran yang premium, bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ini,” jelasnya.

Tambah Adelaine, mereka merancang untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke lokasi perlumbaan. Pakar-pakar industri akan memberi penerangan mengenai perlumbaan sukan permotoran kepada golongan remaja secara langsung.

“Usaha sama antara TOC dan SIC ini akan menyediakan pelbagai sesi latihan serta peluang pembelajaran secara langsung untuk semua peminat industri automotif.

Melalui kerjasama ini juga, TOC dan SIC berazam untuk memberi inspirasi kepada individu-individu yang berkenaan untuk memupuk minat dalam industri automotif serta menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam sukan permotoran,” ujarnya.

Article sourceKosmo Online