TOC Automotive College

View Original

6 tips menunggang motosikal semasa hujan

Menunggang motosikal dalam keadaan cuaca yang baik menjadi pilihan kepada ramai penunggang bagi mengelakkan kesesakan trafik mahupun berulang ke tempat kerja. Ianya sudah menjadi trend terkini di mana ada bermotosikal menggunakan superbike, skuter atau kapcai yang semakin popular.

Namun, apabila tiba musim hujan, pasti ramai penunggang motosikal yang mengeluh. Di Malaysia, musim hujan biasanya berlaku sepanjang tiga bulan akhir setiap hujung tahun, dan kadangkala membawa ke awal tahun.

Jadi, apakah yang patut anda lakukan bagi menghadapinya adalah sentiasa bersiap sedia secara fizikal dan mental, menunggang cermat dan selalu bersabar menerima ujian Tuhan. Minggu ini ruangan Tips Pengguna akan berkongsi berkenaan panduan dan tip-tip utama untuk menunggang motosikal dalam keadaan hujan.

Berikut adalah panduan dan tip-tip utama untuk menunggang motosikal dalam keadaan hujan.

1. PILIH PAKAIAN YANG SESUAI

Sudah tentu pakaian paling asas ialah baju hujan yang perlu sentiasa dibawa bersama sepanjang masa. Penunggang yang bijak semestinya sudah bersiap sedia dengan set pakaian kalis air sama ada baju, jaket, but, dan sarung tangan. 

Pakaian harian ketika musim hujan mestilah dipilih daripada material poliester atau sintetik (seperti jersi bola) atau yang kurang campuran kapas (cotton). Ini kerana baju kapas lambat kering berbanding baju poliester. 

Sebagai penunggang, anda sendiri akan rasa sejuk semasa menunggang selepas hujan reda dalam keadaan baju dan seluar basah. Pakaian poliester juga lebih mudah dicuci sekiranya terkena kotoran jalan dan kurang melekap pada badan.

2. SARUNG HELMET CERAH

Ramai tidak tahu, penunggang motosikal sepatutnya mempunyai dua set helmet. Satu untuk kegunaan normal (reka bentuk bebas) manakala satu lagi dikhaskan untuk tunggangan dalam situasi tertentu seperti waktu hujan dan malam. Helmet jenis kedua sepatutnya memiliki ciri khas seperti berwarna cerah atau memiliki banyak pelekat pantulan cahaya (reflektor).

Malah, visor helmet kedua ini sepatutnya jenis cerah atau kosong tanpa digelapkan. Sudah tentu semua ciri itu untuk keselamatan supaya kita mudah dilihat pengguna jalan raya lain, termasuk meningkatkan tahap kejelasan tunggangan. Bayangkan menunggang dalam hujan lebat dan cuaca gelap dengan visor gelap berkualiti rendah. Sangat bahaya!

3. IKAT SAPU TANGAN (KEY/BANDANA) DI LEHER

Nampak seperti hero Hindustan, tetapi fungsinya adalah mengurangkan kesan kesejukan yang boleh menyebabkan selesema dan demam, terutama jika anda penunggang jenis kurang vitamin dan alah hujan.

Caranya, ikat saja sapu tangan keliling leher untuk melindungi bahagian kerongkong yang terdedah kepada angin sejuk ketika hujan. Ikatlah sesedap rasa, jangan pula terlampau ketat atau longgar.

4. TUNGGANG JARAK SELAMAT, PERLAHAN DAN CERMAT

Tip ini paling penting jika anda sayangkan nyawa anda. Tunggangan ketika hujan sepatutnya lebih lembut sama ada ketika menukar gear, memulas trotel, membrek atau mengambil selekoh. Kita perlu mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan hadapan dan membrek lebih awal berbanding ketika menunggang dalam situasi normal.

5. SENTIASA BERHATI-HATI DI SIMPANG JALAN

Ingat, permukaan jalan selepas hujan sebenarnya lebih licin berbanding cuaca normal kerana ada kesan minyak yang tertinggal. Dari mana datang minyak itu? Ia datang dari pelbagai kenderaan yang bergerak atas jalan, terutama di kawasan persimpangan jalan atau di lampu isyarat kerana minyak lebih kerap menitik atau tumpah ketika berhenti.

Jadi, apabila hujan turun, sisa minyak tertumpah itu akan lembap dan mencair, sekali gus menjejaskan traksi tayar motosikal kita. Cuba elak membrek kecemasan secara tiba-tiba di lokasi tersebut.

Tambahan lagi, jangan lupa selalu perhatikan cermin sisi untuk memantau keadaan kenderaan di belakang yang berisiko menggelincir dan menghentam motosikal anda. Mesti sentiasa berjaga-jaga dan siap sedia dengan sebarang kemungkinan.

6. PERHATIKAN LOPAK AIR DAN LUBANG JALAN

Jangan sesekali cuba menyeberang jalan banjir yang tidak pasti contohnya seperti lopak air. Ia akan mengurangkan cengkaman tayar, manakala lubang jalan yang ditenggelami air akan menyebabkan anda terjatuh daripada motosikal. Jadi, anda mesti benar-benar mengawasi dua situasi berkenaan ketika hujan.

Jangan sesekali meredah banjir (yang tidak nampak dasar jalan) walaupun anda mungkin sudah biasa dengan laluan tersebut. Jika terpaksa, perhatikan dulu mana-mana kenderaan lebih besar seperti kereta melalui kawasan tersebut. Sila imbas dua perkara, pertama, paras air dengan rim, dan kedua, kedudukan badan kereta (yang mungkin sedikit tenggelam sebab termasuk dalam lubang jalan). Selepas itu barulah menunggang ikut laluan tersebut.

Cari dan cuba kekalkan laluan menunggang atas permukaan jalan yang tidak berair. Ini untuk mengekalkan traksi dan cengkaman tayar supaya motosikal kita sentiasa dalam kawalan terbaik kerana kita sendiri tidak tahu bilakah masa perlu membrek dan memecut.

Menunggang motosikal adalah hobi yang sihat, oleh itu jangan biarkan ianya menjadi punca tangisan orang tersayang. Seperti aktiviti lain, sebarang amalan terkawal akan menjamin keselamatan. Tungganglah dengan cermat dan tajamkan pengalaman anda.